Sunday 10 June 2012

Prinsip Asas Pemprosesan Kulit

Pengenalan

Pada asasnya pemprosesan kulit atau penyamakkan kulit adalah untuk mengubah keadaan asal kulit mentah kepada suatu bahan yang lebih stabil dan praktikal di dalam penggunaannya. Agen penyamak merupakan suatu bahan yang mengandungi zat yang berupaya untuk mengubah kulit mentah kepada "kulit masak" atau leather. Kulit mentah yang tidak dicampur dengan  agen penyamak dan dikeringkan sehingga keras dikenali sebagai belulang atau rawhide/flinthide manakala kulit mentah yang hanya diawetkan dengan garam sahaja dan dikeringkan dibawah cahaya matahari dikenali sebagai greenhide. Kedua-dua jenis kulit mentah yang disebut diatas tadi tidak stabil dan akan kembali kepada keadaan asal dan mudah mereput sekiranya terdedah kepada kelembapan yang berpanjangan.

Jenis-jenis Penyamakkan Kulit
  1. Vegetable Tanning - iaitu kaedah penyamakkan kulit yang menggunakan tumbuh-tumbuhan sebagai agen penyamak contohnya seperti kulit,batang, daun dan akar tumbuh-tumbuhan yang mempunyai kandungan tannin yang tinggi seperti pokok bakau, akasia, teh dan sebagainya. Selain daripada itu gambir atau kacu (catechu) juga boleh digunakan sebagai agen penyamak bagi tujuan ini.
  2. Mineral Tanning - merupakan kaedah penyamakkan yang menggunakan bahan-bahan mineral sebagai agen penyamak contohnya seperti garam kromium, potasium dan sebagainya.
  3. Synthetic Tanning - kaedah penyamakkan yang menggunakan bahan-bahan sintetik yang diformulasi khas untuk tujuan penyamakkan contohnya seperti Lutan-F.
  4. Oil Tanning - kaedah yang menggunakan minyak dari tumbuhan dan juga haiwan sebagai  agen penyamak. Selain daripada minyak, otak, hati dan telur haiwan juga mempunyai mengandugi zat penyamakkan. Kulit yang disamak melalui kaedah ini dikenali sebagai buckskin.

Saturday 9 June 2012

Taksidermi Ikan Rohu (Labeo rohita)

 
Pandangan lateral

 
Pandangan dorsal



Gambar-gambar ikan rohu yang telah siap diawetkan (harap maaf kualiti 2 foto diatas kurang memuaskan)

Friday 8 June 2012

Koleksi Taksidermi Institut Biodiversiti Lanchang Pahang

Nota:
Sebahagian daripada koleksi taksidermi Institut Biodiversiti Bukit Rengit, Lanchang, Pahang. Untuk pengetahuan dan makluman anda, haiwan-haiwan yang telah diawet haruslah disimpan dalam sebuah bilik khas dan sebaiknya bilik tersebut dilengkapi dengan mesin "humidifier" untuk menyerap kelembapan. Kelembapan merupakan faktor utama yang menyebabkan bahan awetan menjadi rosak, faktor lain yang turut menyebabkan kerosakan ialah makhluk perosak seperti tikus dan kumbang.

Selain daripada awetan kering, haiwan yang telah mati juga boleh diawetkan dengan cara merendamkannya didalam larutan alkohol atau formalin (campuran formaldehid dan air). Kaedah ini dikenali sebagai awetan basah atau "wet mount". Spesimen yang diawetkan dengan formaldehid akan menyebabkan warnanya pudar, DNAnya rosak dan identifikasi spesies melalui "DNA fingerprinting" sukar dilakukan jika dibandingkan dengan  awetan yang menggunakan alkohol sebagai media rendaman.

Projek Seterusnya Taksidermi Haiwan Eksotik


Blue tongue skink (Tiliqua sp).- dorsal view

 
Blue tongue skink - ventral view

  
Matamata  (Chelus fimbriatus) - ventral view

 
Matamata - dorsal view


 
King Snake (Lampropeltis sp.)


Nota:
Haiwan-haiwan eksotik dalam gambar adalah milik Mr. Francis, seorang penggemar haiwan eksotik dari Petaling Jaya, Selangor. Haiwan-haiwan tersebut telah mati dan dihantar kepada saya untuk diawetkan.

Formula Larutan Untuk Mengawet Kulit Ular

Kulit haiwan reptilia seperti ular agak nipis jika dibandingkan dengan kulit haiwan mamalia, tetapi ia mudah dikuliti (skinning) kerana lapisan lemak pada kulit tersebut sangat nipis atau hampir tiada. Formula berikut saya perolehi dari sebuah buku taksidermi (Ben Haden solution) dan saya tidak pernah mencubanya dan tidak tahu apakah hasilnya. Sekiranya anda mempunyai cukup bahan seperti berikut, anda boleh mencubanya sendiri. Selamat mencuba!

Caranya:

Campurkan bahan-bahan berikut dengan segelen air

  1. 1 cawan serbuk *asid borik
  2. 1 sudu teh larutan disinfektan (e.g Lysol, Dettol etc.)
  3. 3 titis formaldehid
Kacau hingga sebati campuran bahan tersebut dalam bekas plastik atau kaca.. Jangan gunakan bekas logam! bekas logam akan menyebabkan berlakunya tindakbalas kimia dan larutan tersebut akan kehilangan zatnya dan tidak berguna lagi.

Rendamkan kulit ular (bersaiz sederhana e.g. berdiameter 3-4 inci) yang telah dikuliti dalam larutan yang telah disediakan selama 10 hingga 15 minit. Jangan melebihi 20 minit,sekiranya direndam terlalu lama ia akan menyebabkan sisik kulit ular tersebut tertanggal. Selepas itu keluarkan kulit tersebut dan bilas dengan air sehingga kulit tersebut menjadi neutral.

Selepas dibilas, rentangkan kulit tersebut dan sapukan dengan minyak penyamak (tanning oil). Sekarang kulit ular tersebut telah sedia untuk pemasangan (mounting).

* asid borik terdapat dalam dua keadaan iaitu cecair dan serbuk.

Tuesday 5 June 2012

Formula Kalis Air Bagi Kulit

Berikut adalah formula-formula untuk membuat kulit yang telah disamak kalis air dan tahan lebih lama:

  1. Minyak paraffin dan minyak neatsfoot dicampur pada kadar nisbah yang sama dan dipanaskan
  2.  Beeswax dans minyak neatsfoot dicampur pada kadar nisbah yang sama dan dipanaskan
  3.  Lemak haiwan dan minyak neatsfoot dicampurkan pada kadar nisbah yang sama dan dipanaskan
  4. Dua bahagian Vaseline dicampurkan dengan satu bahagian paraffin dan dipanaskan

Nota:
Kompaun-kompaun tersebut hendaklah disapu pada bahagian isi (flesh side) untuk kulit bulu dalam keadaan yang tidak terlalu panas (suam).

Saturday 2 June 2012

Kaedah Menguliti Kulit Haiwan Liar Kecil Untuk Diawet







 
Gambar-gambar diatas menunjukkan bagaimana proses pengulitan dilakukan. Spesimen berikut adalah seekor Kucing Batu (Felis bengalensis) yang  telah dijumpai mati dan dimiliki oleh Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Jabatan Perhilitan. Kucing Batu merupakan haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya oleh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, memiliki haiwan tersebut merupakan satu kesalahan dan anda boleh didenda sehingga RM500,000 dan Mandatori 5 tahun penjara jika disabitkan kesalahan.

Kesan Daripada Proses Pengulitan Dan Penggaraman Yang Tidak Sempurna

Gambar berikut menunjukkan kesan-kesan negatif daripada proses pengulitan dan pengaraman yang tidak sempurna sebelum dan selepas proses penyamakkan bagi kulit bulu.

1. Bulu gugur (garam yang sedikit)

2. Kusam dan tidak berkilat (larutan bahan pengawet tidak dapat menembusi kulit secara menyeluruh)

3. Masih berbau walaupun telah diawet (lemak dan daging yang tidak dibuang dengan sempurna)




Kaedah Menguliti Ular Untuk Taksidermi dan Tanning

Sekiranya anda ingin mengawet haiwan peliharaan yang telah mati terutamanya ular, berikut adalah teknik atau kaedah mengulit (skinning) sebelum di hantar untuk diawetkan.

1. Pastikan tidak terdapat lapisan daging atau lemak yang terlekat pada kulit ini adalah kerana lemak boleh menyebabkan kerosakan yang teruk pada kulit sekiranya mereput.

2. Rentangkan kulit yang telah dikuliti dan taburkan garam halus sebanyak mungkin sehingga kulit tidak dapat menyerap garam lagi dan biarkan kering pada suhu bilik selama 24 jam. Jangan jemur kulit tersebut dibawah cahaya matahari atau diletakkan pada tempat yang panas.

3. Selepas sehari, buang garam yang berlebihan dengan mengibaskan kulit tersebut dan taburkan garam yang baru sebanyak mungkin dan biarkan kering pada suhu bilik selama dua hari (fungsi garam adalah untuk menghalang pertumbuhan bakteria, membuang kelembapan dan melambatkan proses pereputan).





4. Sekiranya anda tidak mempunyai masa untuk membuat perkara-perkara seperti di atas, anda boleh menyimpan haiwan tersebut di dalam plastik dan masukkan terus kedalam peti sejukbeku (freezer) sebelum dihantar untuk pengawetan.

Nota:

Spesimen yang diawetkan merupakan Ular Sawa Darah atau Blood Python (Python curtus) dan merupakan haiwan liar yang dilindungi. Individu yang memiliki haiwan tersebut mempunyai lesen untuk membela untuk tujuan pameran dan pendidikan.

Maklumat Lanjut

Taksidermi Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni)  di bengkel taksidermi - Zoo Melaka
Untuk maklumat lanjut mengenai upah dan harga untuk taksidermi dan penyamakkan (tanning) bagi spesies haiwan, saiz dan sebagainya, sila hubungi 06-6770132 (Dr. Norman). Anda dialu-alukan memberi komen dan kritikan untuk kebaikan bersama. Terima kasih.

Penyediaan tulang Badak Sumatera (Dicerorhinus sumatrensis) - Tulang badak Sumatera ini adalah hak milik Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun (saya cuma menyusunnya semula)

Kaki Gajah Asia (Elephas maximus) di Pusat Konservasi tuntung Sungai Bota, Perak. Kaki gajah ini diawetkan oleh staf Unit Takidermi Jabatan Perhilitan



Friday 1 June 2012

Tanning atau Penyamakkan Kulit Haiwan

                                               

Kulit arnab dan kambing yang telah diawet. Saya juga sedia menerima tempahan utuk menyamak kulit bulu. Kaedah pengawetan yang saya gunakan adalah "mineral tanning". Kulit bulu untuk haiwan-haiwan kecil seperti arnab, musang (civet cat), tupai dan sebagainya dikenali sebagai "pelt", manakala kulit haiwan-haiwan besar seperti kambing, pelanduk, kijang dan sebagainya dikenali sebagai "skin" atau "hide". Kulit-kulit haiwan yang telah disamak sesuai dijadikan perhiasan dan juga cenderahati. Teknik penyamakan yang saya gunakan berbeza jika dibandingkan dengan kulit-kulit yang terdapat dipasaran sebagai contoh kulit kambing yang telah dibingkaikan dan diatasnya tertera ayat-ayat suci al-Quran. Kulit-kulit kambing tersebut  sangat keras. Kulit-kulit haiwan yang saya samak ternyata lebih lembut, malahan bulu tidak gugurserta boleh dijahit serta dijadikan pelbagai barangan seperti beg, jaket dan sebagainya. Saya juga tidak menggunakan sebarang mesin untuk memproses kulit-kulit tersebut dan boleh dikatakan produk yang dihasilkan adalah 100%  "handcrafted". Gambar paling atas sekali adalah kulit kucing batu yang saya samakkan untuk Pusat Konservasi Hidupan Liar, Jabatan Perhilitan Sungai Dusun pada tahun 2009 dan gambar paling bawah adalah kulit arnab yang saya awet dan samakkan untuk Rabbit Funland Semenyih.

Taxidermy and Tanning: Taksidermi dan Penyamakkan Kulit

Taxidermy and Tanning: Taksidermi dan Penyamakkan Kulit: Saya menyediakan perkhidmatan mengawet (taksidermi) haiwan kesayangan, haiwan liar atau haiwan eksotik yang telah mati untuk koleksi peribadi, muzium dan untuk tujuan pameran dan pendidikan. Selain daripada itu saya juga menerima tempahan untuk menyamak kulit haiwan dan menjual perhiasan yang berasaskan kulit haiwan (bukan haiwan liar di bawah akta perlindungan hidupan liar).

Taksidermi Reptilia Eksotik


Gambar diatas adalah antara spesimen-spesimen haiwan reptilia yang telah diawet, "Double Headed Red-eared Slider Terrapin" (Trichemys scripta elegans) dan "Milk Snake" (Lampropeltis sp.) untuk "Reptile World"- i-City

Taksidermi Ikan


Taksidermi ikan agak rumit sedikit jika dibandingkan dengan haiwan mamalia dan reptilia. Ikan yang akan diawet perlu dibuang isi, mata dan otak. Otak ikan mengandungi minyak sekiranya tidak dibuang ia akan mereput dari dalam serta meninggalkan bau yang busuk dan ini boleh menyebabkan ikan yang diawet tersebut rosak.