Monday, 19 August 2013

Tanning Kulit Ular Sawa Batik (Python reticulatus)

Kulit ular sebenarnya tidak susah untuk di samak dengan menggunakan agen penyamak tertentu, akan tetapi proses penyediaan sebelum di samak dan selepas di samak terlalu rumit dan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Sisik yang terdapat pada kulit ular tersebut perlu di buang sepenuhnya supaya zat penyamak dapat menembusi kulit tersebut secara menyeluruh dan rata.  Tempoh rendaman dalam bahan penyamak agak lama dan proses tersebut perlu diulang beberapa kali supaya zat penyamak tersebut dapat menembusi fiber kolagen yang terdapat pada kulit ular tersebut secara menyeluruh. Kos untuk menyamak kulit ular atau reptilia yang lain adalah berkali ganda lebih tinggi berbanding dengan kos untuk menyamak kulit haiwan mamalia. Kulit ular yang telah di samak perlu dilembutkan dengan membuat regangan setiap kali ia dikeluarkan dari larutan penyamak dan proses regangan perlu dilakukan secara berhati-hati dan sedikit demi sedikit iaitu tidak terlalu meregang secara drastik (tekstur asal berubah dan hasil yang diperolehi tidak memuaskan). Setakat ini 15 lembar kulit ular yang telah di samak, 3 daripadanya tidak mendapatkan hasil yang memuaskan (berdasarkan pengalaman saya ketika mula-mula belajar menyamak kulit haiwan reptilia). pH larutan penyamak perlu di kawal dan kepekatan larutan hendaklah sentiasa homogen (samarata) iaitu perlu di kacau dari masa ke semasa untuk mengelakkan berlakunya mendapan zat penyamak pada dasar bekas rendaman. Proses peneutralan dan menyahgaram dari kulit perlu dilakukan sehingga kesan garam tiada pada kulit ular tersebut. Gambar-gambar dibawah adalah kulit ular yang telah disamak dengan menggunakan formulasi khas. Seperti kulit-kulit haiwan lain, kulit ular perlu disapukan minyak atau wax untuk mengekalkan kelembutan dan mengelakkannya daripada kering dan perlu digilap untuk mendapatkan hasil yang baik.


Kulit yang lembut boleh di lipat, di gulung seperti fabrik



Kulit yang lembut juga tidak akan meninggalkan kesan kedutan selepas di gulung atau dilipat.


Kulit ular sawa batik (Python reticulatus) yang saya samakkan dan awetkan untuk dipamerkan di Galeri Anatomi, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia.

Tips untuk menyamak kulit ular:
1. Jangan di jemur secara terus di bawah cahaya matahari
2. Taburkan garam sehingga tepu (sebelum melakukan proses penyamakkan)
3. Sisik yang paling luar perlu di tanggalkan
4. Jangan meregang secara berlebihan semasa melakukan proses melembutkan kulit (breaking process)
5. Bertanya kepada orang yang berpengalaman dan  selalu melakukan penyelidikan, pembacaan tambahan melalui internet dan sebagainya sebagai panduan.
6. Akhir sekali, saya memohon maaf banyak-banyak kerana tidak dapat menerangkan atau mendedahkan formula larutan yang saya gunakan untuk menyamak kulit ular dan untuk pengetahuan kepada pembaca/pengunjung blog, saya telah mengambil masa yang terlalu lama dalam mencari formulasi yang sesuai serta membuat pelbagai kajian dan eksperimen untuk menyediakan larutan penyamak yang stabil, dan selain daripada itu,  menyamak/mengawet kulit haiwan dan taksidermi adalah merupakan sumber pendapatan saya, di harap anda dapat memahaminya. Terima kasih.

p/s

PERINGATAN!!
Menangkap, membela, membunuh dan juga memiliki kulit ular sawa batik adalah merupakan satu kesalahan kerana ular sawa batik merupakan haiwan yang dilindungi. Saya menyamak/mengawet kulit ular tersebut adalah semata-mata  bertujuan untuk dipamerkan di galeri tersebut bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan. 

Harap maklum.

No comments:

Post a Comment

Komen dan kritikan dialu-alukan.