Saturday, 31 August 2013

Proses Pengeringan Awetan Haiwan

Proses pengeringan bahan awetan merupakan proses yang terakhir di mana bahan awetan tersebut perlu bebas daripada air ataupun kelembapan. Proses ini dilakukan dengan cara membiarkan awetan tersebut kering secara perlahan-lahan pada suhu bilik (room temperature) atau diletakkan di kawasan yang mempunyai pengudaraan yang baik sehingga kering (air dried). Jangan sesekali bahan awetan di jemur di bawah cahaya matahari yang terik, atau diletakkan pada tempat yang panas dalam jangkamasa yang lama ini adalah kerana kehilangan air atau kelembapan secara drastik boleh merosakkan awetan tersebut dan warnanya akan luntur serta kelihatan tidak menarik. Saya hanya menggunakan cahaya matahari waktu pagi apabila menyembur 'lacquer' terhadap awetan-awetan bagi kerja-kerja terakhir. Biasanya saya akan biarkan awetan tersebut kering secara perlahan-lahan pada suhu bilik sambil memperbaiki posisi awetan tersebut selama beberapa hari. Sekiranya awetan terlalu kering ia akan menjadi rapuh dan mudah patah, jadi saya akan menyembur air biasa pada tempat-tempat yang akan diperbetulkan supaya menjadi lembut dan mudah dibentukkan tanpa menghadapi risiko patah, terkoyak ataupun rosak.

Proses mengeringkan awetan dilakukan pada  di kawasan yang terbuka (workshop saya dibelakang rumah)
Reptilia-reptilia yang telah siap diawetkan

Monday, 26 August 2013

Taksidermi Reptilia 3 : Albino Chinese Soft-shelled Turtle (Pelodiscus sinensis)

Bagi saya tuntung sungai atau River terrapin (Batagur baska) dan juga labi-labi atau Chinese soft-shelled turtle (Pelodiscus sinensis) merupakan haiwan reptilia yang paling rumit untuk diawetkan, kerana kulitnya terlalu nipis, walaupun labi-labi mempunyai karapas atau cangkerang yang dikatakan lembut, akan tetapi ia sebenarnya agak keras manakala tuntung sungai pula mempunya karapas yang sangat keras dan berat (ia sebenarnya merupakan tulang belakang bagi haiwan tersebut). Proses taksidermi haiwan ini dilakukan seperti biasa tetapi semasa proses pengulitan perlu dilakukan dengan amat berhati-hati kerana kulitnya terlalu mudah terkoyak atau terpotong. Gambar dibawah menunjukkan bagaimana teknik yang saya gunakan untuk membelah dan menjahit semula haiwan reptilia tersebut.




Soft-shelled turtle yang hampir siap
Matamata turtle (Chelus fimbriata) yang telah saya awetkan

Pandangan dorsal Matamata turtle
Tuntung sungai (River Terrapin) - Pusat Konservasi Tuntung Sungai di Bota, Perak

Cangkerang Tuntung Sungai (hakmilik Pusat Konservasi Tuntung Sungai Bota, Perak)

Sunday, 25 August 2013

Taksidermi Reptilia 2 : Irian Jaya Blue-Tongued Skink (Tiliqua sp)

Haiwan ini merupakan Blue-Tongued skink yang kedua yang saya awetkan. Proses mengawet haiwan agak rumit kerana ia mempunyai kulit yang sangat nipis dan diselaputi oleh sisik yang nipis agak keras. Sisik haiwan reptilia ini hampir sama seperti sisik ular, cuma sisik ular  nipis, berlapis-lapis dan lembut Semasa menguliti haiwan ini saya perlu berhati-hati kerana satu pertiga daripada panjang ekornya berkecenderungan untuk putus. Blue-Tongued skink yang pernah saya awetkan dahulu ekornya hampir putus semasa proses mengulit, untuk mengatasi masalah ini, saya menggunakan super glue untuk menyambung semula ekornya dan meneruskan proses pengulitan seperti biasa. Proses pengulitan dan mengikis daging dilakukan seperti haiwan lain dan yang penting sekali lemak yang tebal terdapat pada bahagian ekor perlu dibuang sebanyak yang mungkin. Selepas mengasingkan daging daripada kulit, saya mencucinya dengan cecair pencuci pinggan untuk membuang kesan minyak selepas itu saya menaburkan sedikit sodium karbonat untuk menghilangkan kesan minyak yang masih ada dan bilas dengan air biasa sebelum menaburkan bahan pengawet untuk mengawetnya.

Blue-tongued skink yang telah mati.Pandangan dorsoventral
Letakkan haiwan tersebut pada posisi ventrodorsal
Mula membuat belahan dalam satu garisan lurus bermula dari bahagian kepala (lower jaw/mandible) hingga ke bahagian ekor dan buang semua organ dalaman termasuk lidah, mata dan otak.
Mulakan proses mengulit dari bahagian tepi sehingga ke bahagian tulang belakang.
Pandangan dorsal kulit yang telah diasingkan daripada tulang rangka dan juga daging
Selepas dibersihkan dari kesan minyak dan lemak,bahan pengawet ditabur sehingga rata pada semua bahagian kulit
Biarkan bahan pengawet meresap masuk kedalam kulit dengan menyemburkan sedikit air (untuk melarutkan bahan pengawet tersebut) dan dibiarkan semalaman sebelum melakukan proses yang seterusnya
Proses mengisi dan membentuk badan haiwan tersebut dilakukan secara serentak iaitu menjahit semula kulit tersebut dan membuat pengisian secara berselang seli.



p/s

Irian Jaya Blue-tongued Skink (Tiliqua sp) yang telah diawetkan ini adalah milik Mr. Francis dari Kuala Lumpur, beliau adalah peminat haiwan eksotik yang ekstrim. Beliau juga telah menghantar banyak haiwan peliharaan eksotik kepada saya untuk diawetkan.

Saturday, 24 August 2013

Taksidermi Reptilia 1: Bearded Dragon (Pogona vitticeps)

Gambar-gambar di bawah menunjukkan cara dan bagaimana saya mengawet seekor 'Bearded Dragon'. Saya menggunakan bahan pengawet khas untuk haiwan reptilia dan  bahan khas sebagai bahan isian (stuffing material). Selain daripada itu 'coco peat'  atau gentian asli seperti kapas, kekabu dan sebagainya, 'paper mache' dan  'foam' boleh juga digunakan sebagai  bahan isian.

Apa yang anda perlukan adalah seekor haiwan yang telah mati secara semulajadi yang berada dalam keadaan  baik serta sempurna dan bukan 'dimatikan' dan sebilah skalpel


Letakkan haiwan tersebut pada posisi ventrodorsal (terlentang) dan buatkan satu insisi atau belahan bermula dari bahagian kepala hingga kehujung ekor dalam satu garisan yang lurus.

Mulakan proses mengulit (skining) dan membuang daging serta lemak (fleshing). Pastikan daging dan lemak dibersihkan sepenuhnya sehingga tiada lagi daging yang melekat pada kulit haiwan tersebut dan lakukan dengan berhati-hati supaya kulit tersebut tidak berlubang atau terkoyak

Taburkan bahan pengawet secara menyeluruh dan rata pada kulit haiwan tersebut.

Biarkan bahan pengawet pada kulit tersebut semalaman supaya ia dapat menyerap secara menyeluruh kedalam kulit haiwan tersebut


Selepas bahan isian telah diisikan dan kulit itu dijahitkan semula sehingga bentuk badan haiwan tersebut telah terbentuk

Tentukan  posisi haiwan yang telah siap dijahit dan diisi seperti yang dikehendaki

Pandangan dari atas untuk menentukan posisi yang baik supaya ia kelihatan lebih natural

Pandangan sisi: Posisi yang telah ditentukan sebelum kerja-kerja akhir atau 'finishing' dilakukan
p/s

Sekiranya terdapat daging atau lemak tidak dapat dibuang sepenuhnya pada bahagian-bahagian yang tertentu, suntikkan larutan formalin pada bahagian tersebut. Lakukan di tempat yang mempunyai pengudaraan yang baik.

Wednesday, 21 August 2013

Eksperimen Menyamak Kulit Ikan Siakap (Lates calcarifer)

Ini merupakan eksperimen sulung saya dalam mencari formulasi penyamakan yang sesuai untuk mengawet atau menyamak kulit ikan. Dalam eksperimen ini saya telah menyamak kulit ikan siakap dengan menggunakan kaedah "chrome tanning". Setelah membersihkan kulit ikan tersebut dari isinya, saya terus rendam dalam larutan penyamak selama seminggu. Akan tetapi hasil yang diperolehi tidak seperti yang dijangkakan. Kulit tersebut tersamak dengan baik, malangnya apabila kering kulit ikan tersebut menjadi terlalu keras dan tidak praktikal untuk dijadikan apa-apa produk kecuali sebagai bahan pameran.

Kulit ikan siakap  (pandangan bahagian luar kulit/bahagian sisik) yang telah disamak dengan 'chromium sulfate'
Bahagian isi kulit ikan siakap.

p/s

Ternyata eksperimen saya kali ini menemui keGAGALan!.

Rasuk Mengulit (Fleshing Beam)

Rasuk mengulit kecil (mini fleshing beam), pisau mengulit (fleshing knife) dan papan mengulit (fleshing board)
Alang atau rasuk mengulit (fleshing beam) merupakan satu peralatan atau binaan yang ringkas yang digunakan untuk menyangga kulit bagi memudahkan kerja-kerja mengulit dan juga dalam proses membuang bulu (dehairing). Ia boleh diperbuat dari bongkah kayu, papan tebal, batang kayu dan juga paip PVC. Sekiranya anda ingin membuat rasuk ini daripada kayu atau papan, permukaan bahan tersebut perlu dilicinkan terlebih dahulu, ini adalah kerana permukaan yang kasar, berlubang atau berbonjol boleh menyebabkan kulit akan terkoyak apabila anda menggunakan pisau mengulit untuk mengikis bahagian daging pada kulit. Rasuk ini boleh dibina dengan pelbagai saiz berdasarkan saiz kulit yang akan dikikis daging serta isinya. Saya menggunakan 2 jenis bahan untuk membina rasuk ini, iaitu daripada paip PVC dan kayu. Biasanya saya menggunakan paip PVC untuk melakukan kerja-kerja mengulit kulit yang tebal dan bersaiz besar dan rasuk kecil yang boleh diletakkan di atas meja bagi kerja-kerja mengulit kulit-kulit haiwan yang bersaiz kecil. Jarang sekali saya menggunakan meja atau melakukan kerja-kerja mengulit di atas lantai, kerana proses mengulit sangat memenatkan dan saya perlu melakukannya pada posisi yang selesa. Lagipun proses mengulit akan menjadi lebih cepat dan senang dengan menggunakan rasuk mengulit ini dan yang paling penting belakang dan kaki tidak lenguh atau sakit semasa melakukan proses pengulitan.

Rasuk mengulit kecil (mini fleshing beam) yang boleh diletakkan diatas meja.
Rasuk ini diperbuat daripada kayu pokok pine.
Saya menggunakan kayu pine kerana ianya lebih ringan dan mudah alih (portable)
Pandangan sisi rasuk mengulit kecil dan juga pisau mengulit (fleshing knife)
Papan mengulit (fleshing board).
Rasuk mengulit yang diperbuat daripada paip PVC kegemaran saya.
Rasuk mengulit kecil dan papan mengulit(kedua-duanya diperbuat daripada kayu pine)

Cara menggunakan papan mengulit  (ditopang dengan tripod)
 p/s

Rasuk Mengulit - macam pelik jer bunyi hasil dari direct translation untuk perkataan "fleshing beam" daripada  Google Translation...harap maaf!

Monday, 19 August 2013

Tanning Kulit Ular Sawa Batik (Python reticulatus)

Kulit ular sebenarnya tidak susah untuk di samak dengan menggunakan agen penyamak tertentu, akan tetapi proses penyediaan sebelum di samak dan selepas di samak terlalu rumit dan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Sisik yang terdapat pada kulit ular tersebut perlu di buang sepenuhnya supaya zat penyamak dapat menembusi kulit tersebut secara menyeluruh dan rata.  Tempoh rendaman dalam bahan penyamak agak lama dan proses tersebut perlu diulang beberapa kali supaya zat penyamak tersebut dapat menembusi fiber kolagen yang terdapat pada kulit ular tersebut secara menyeluruh. Kos untuk menyamak kulit ular atau reptilia yang lain adalah berkali ganda lebih tinggi berbanding dengan kos untuk menyamak kulit haiwan mamalia. Kulit ular yang telah di samak perlu dilembutkan dengan membuat regangan setiap kali ia dikeluarkan dari larutan penyamak dan proses regangan perlu dilakukan secara berhati-hati dan sedikit demi sedikit iaitu tidak terlalu meregang secara drastik (tekstur asal berubah dan hasil yang diperolehi tidak memuaskan). Setakat ini 15 lembar kulit ular yang telah di samak, 3 daripadanya tidak mendapatkan hasil yang memuaskan (berdasarkan pengalaman saya ketika mula-mula belajar menyamak kulit haiwan reptilia). pH larutan penyamak perlu di kawal dan kepekatan larutan hendaklah sentiasa homogen (samarata) iaitu perlu di kacau dari masa ke semasa untuk mengelakkan berlakunya mendapan zat penyamak pada dasar bekas rendaman. Proses peneutralan dan menyahgaram dari kulit perlu dilakukan sehingga kesan garam tiada pada kulit ular tersebut. Gambar-gambar dibawah adalah kulit ular yang telah disamak dengan menggunakan formulasi khas. Seperti kulit-kulit haiwan lain, kulit ular perlu disapukan minyak atau wax untuk mengekalkan kelembutan dan mengelakkannya daripada kering dan perlu digilap untuk mendapatkan hasil yang baik.


Kulit yang lembut boleh di lipat, di gulung seperti fabrik



Kulit yang lembut juga tidak akan meninggalkan kesan kedutan selepas di gulung atau dilipat.


Kulit ular sawa batik (Python reticulatus) yang saya samakkan dan awetkan untuk dipamerkan di Galeri Anatomi, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia.

Tips untuk menyamak kulit ular:
1. Jangan di jemur secara terus di bawah cahaya matahari
2. Taburkan garam sehingga tepu (sebelum melakukan proses penyamakkan)
3. Sisik yang paling luar perlu di tanggalkan
4. Jangan meregang secara berlebihan semasa melakukan proses melembutkan kulit (breaking process)
5. Bertanya kepada orang yang berpengalaman dan  selalu melakukan penyelidikan, pembacaan tambahan melalui internet dan sebagainya sebagai panduan.
6. Akhir sekali, saya memohon maaf banyak-banyak kerana tidak dapat menerangkan atau mendedahkan formula larutan yang saya gunakan untuk menyamak kulit ular dan untuk pengetahuan kepada pembaca/pengunjung blog, saya telah mengambil masa yang terlalu lama dalam mencari formulasi yang sesuai serta membuat pelbagai kajian dan eksperimen untuk menyediakan larutan penyamak yang stabil, dan selain daripada itu,  menyamak/mengawet kulit haiwan dan taksidermi adalah merupakan sumber pendapatan saya, di harap anda dapat memahaminya. Terima kasih.

p/s

PERINGATAN!!
Menangkap, membela, membunuh dan juga memiliki kulit ular sawa batik adalah merupakan satu kesalahan kerana ular sawa batik merupakan haiwan yang dilindungi. Saya menyamak/mengawet kulit ular tersebut adalah semata-mata  bertujuan untuk dipamerkan di galeri tersebut bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan. 

Harap maklum.

Tanning Kulit Kambing

Kulit kambing yang telah di samak dengan menggunakan bahan penyamak untuk kulit mamalia. Gambar dibawah adalah kulit kambing yang telah di samak bersama bulunya. Kulit yang telah di samak perlu disapukan minyak atau wax pada bahagian bawah kulit (flesh side) untuk mengelakkannya daripada menjadi kering dan sekiranya kulit tersebut terlalu kering ia akan menjadi rapuh (brittle) seperti kertas dan mudah terkoyak. Minyak memainkan peranan penting untuk mengekalkan kelembutan kulit yang telah di samak. Minyak yang biasa digunakan adalah minyak 'neatsfoot' atau anda juga boleh menggunakan wax/lilin pengilap kasut sekiranya minyak neatsfoot sukar diperolehi. Wax pengilap kasut ini perlu dicairkan terlebih dahulu sebelum disapukan pada bahagian bawah kulit dan diratakan dengan menggunakan berus dan untuk mendapatkan hasil yang terbaik anda perlu melakukan 3 hingga 4 sapuan. Sekiranya anda menggunakan minyak neatsfoot pastikan tidak terlalu banyak pada sapuan pertama sehinggakan kulit tersebut kelihatan berminyak. Kulit yang terlalu berminyak juga boleh mengurangkan jangka hayat dan juga kualiti kulit yang telah disamak.

Bahagian atas kulit (fur/hair side)

Bahagian atas dan bawah kulit

Bahagian bawah kulit (flesh side)
 p/s

Gambar-gambar diatas adalah kulit kambing yang telah di samak bulu dengan menggunakan bahan penyamak kulit mamalia. Kulit kambing tersebut di samak untuk En. Syed Abas Mohd Ishak dari Kuala Lumpur.